Wednesday 30 January 2013

Pengenalan

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor merupakan salah satu daripada 13 bahagian yang diwujudkan sebagai kuasa eksekutif bagi menjalan dan menggerakkan aktiviti Jabatan Agama Islam Selangor.

Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan ditugaskan sebagai sayap yang memastikan tugas-tugas mencegah kemungkaran dan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan berhemah, berhikmah, cekap, berani dan telus.


Bahagian ini telah melalui perkembangan yang pesat dari segi fungsi, keanggotaan, peralatan dan cara bekerja secara berperingkat-peringkat sejak tahun 1995.


Sehingga kini Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor dianggotai oleh 115 orang anggota pelbagai kategori. Ini adalah jumlah anggota penguatkuasa agama teramai jika dibandingkan dengan anggota-anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri-negeri lain di Malaysia.


Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan diketuai oleh seorang Timbalan Pengarah yang beribu pejabat di Tingkat 4, Menara Utara Bangunan Sultan Idris Shah, No.2 Persiaran Masjid Bukit SUK Seksyen 5, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan yang menguruskan hal ehwal pentadbiran, kakitangan dan siasatan serta keperluan logistik bahagian seluruh Negeri Selangor.


Bahagian ini telah mewujudkan Bilik Gerakan 24 (Hotline) jam yang beroperasi di Tingkat Bawah, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, No. 2, Persiaran Masjid, Bukit SUK, Seksyen 5, 40000 Shah Alam, Selangor. Bahagian ini mempunyai 8 cawangan yang ditempatkan di setiap 8 daerah di seluruh Negeri Selangor bagi melaksanakan dasar-dasar & prinsip-prinsip yang sama dalam melaksanakan tugas.


Paradigma baru Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan adalah cuba melihat bahawa penguatkuasaan undang-undang adalah sebahagian daripada tugas-tugas pencegahan.