Friday, 7 October 2011

Kempen Pencegahan Arak dan Pelancaran Logo Anti Arak Peringkat Negeri 2011

Menyedari peningkatannya kes gejala arak, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengadakan satu kempen Pencegahan Arak dan Pelancaran Logo Anti Arak Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 2011 pada 18-21 Oktober ini.



Kempen ini diadakan melibatkan kerjasama pelbagai agensi agama, agensi kerajaan dan swasta. Walaupun operasi-operasi besar-besaran mencegah arak telah banyak diadakan, namun ia masih GAGAL mengawal dan mencegah gejala ini terutamanya melibatkan masyarakat Islam sendiri.

Pengharaman arak telah dinyatakan dalam Surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (minum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan, (oleh itu) maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapar kemenangan. Sesungguhnya Syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu lantaran (minum) arak dan berjudi, dan menghalangi kamu dari mengungati Allah dan sembahyang, maka hendaklah kamu berhenti dari mengerjakan perbuatan itu"

Ia kemudiannya disokong dengan Hadis-hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap yang memabukkan itu haram"

Berdasarkan nas-nas yang dinyatakan di atas, jelaslah di sini pengharaman arak telah dikuatkuasakan sejak dahulu lagi. Kesalahan meminum arak atau minuman yang memabukkan ini juga merupakan salah satu daripada kesalahan HUDUD.

Di Malaysia amnya dan Selangor khasnya, pencegahan arak ini dilakukan dengan menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) tahun 1995. Kesalahan meminum arak diperuntukan dalam Seksyen 18 (1) dan sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM3000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan bagi orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan diperuntukan dalam Seksyen 18(2) enakmen yang sama. Sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.